BERITA HARIAN
2011/11/04
KUALA LUMPUR: Desakan terus dibuat supaya kerajaan bertegas dengan keputusan memansuhkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan tidak tunduk kepada tekanan oleh pihak tertentu yang hanya melihat kepada kepentingan segelintir. Terbaru, desakan dibuat Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang membentangkan alasan dan fakta kukuh kenapa kerajaan perlu bertegas demi kepentingan majoriti murid dan guru.
PIBGN memberikan alasan iaitu kajian, data dan penyelidikan Kementerian Pelajaran dan Bahagian Peperiksaan menunjukkan 70 peratus pelajar yang mengikuti pelaksanaan PPSMI menghadapi masalah.
Bahasa Jiwa Bangsa |
"Ini kerana latar belakang mereka bukan bahasa Inggeris," kata Mohamad Ali yang mahu kerajaan tidak melayani sebarang tuntutan supaya PPSMI diteruskan mahu pun supaya memberi pilihan untuk mengajar dan belajar dua subjek itu dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata, tidak wujud di mana-mana negara di dunia di mana kerajaan membenarkan dua bahasa pengantar digunakan untuk pengajaran seperti itu malah negara-negara maju seperti Korea, Jepun, Jerman dan Perancis sendiri menggunakan bahasa mereka untuk ilmu.
"Kalau penguasaan Bahasa Inggeris sendiri sudah lemah bagaimana pula kita hendak menguasai ilmu tinggi seperti Matematik dan Sains itu sendiri jika diajar dalam bahasa itu. Pelajar akan menjadi dua kali lemah.
"Masalah juga timbul dalam usaha menyediakan guru-guru yang baik," katanya di sini.
Mohamad Ali berkata, kerajaan sudah memutuskan untuk menggantikan PPSMI dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan sebarang usaha membantah atau mempertikaikannya seolah-olah tidak mengiktiraf kerajaan dan keputusan Kabinet.
"Kalau semua diminta kaji semula perkara ini dan itu, segalanya akan lebih berkecamuk," katanya sambil menjelaskan bahawa selama ini pun profesional yang dilahirkan di negara ini memanfaatkan dan menggunakan Bahasa Malaysia tanpa timbul sebarang masalah.
Mohamad Ali berkata, dari sudut perundangan pula sudah jelas bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia dan Akta Pelajaran 1961.
"Kita tidak nafikan peranan Bahasa Inggeris dan ia perlu diperkukuhkan tetapi Bahasa Kebangsaan perlu didaulatkan," katanya.
Pengerusi GMP, Prof Dr Shaharir Mohd Zain, berkata tindakan pihak yang menuntut untuk meneruskan PPSMI bukan di luar dugaan kerana mereka tidak pernah bersama dalam perjuangan memansuhkan pelaksanaan PPSMI.
Katanya, penggunaan PPSMI sebenarnya sudah mewujudkan situasi tidak adil kepada masyarakat dan pelajar di luar bandar, yang juga harus diberi peluang belajar kedua-dua subjek penting itu dalam Bahasa Melayu, yang mereka lebih mudah faham.
"Yang lebih penting ialah kita harus melihat bahawa Bahasa Melayu mampu berperanan memajukan ilmu itu sendiri. Kalau nak mengalahkan orang lain dalam sudut ilmu kita boleh gunakan Bahasa Melayu, bahasa kita," katanya.
Shaharir, yang juga Felo Penyelidik Kanan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, berkata kebanyakan negara maju di Eropah menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa ilmu dan dapat memajukan negara mereka.
Dari sudut antarabangsa, beliau berkata, hanya tiga atau empat negara daripada 40 negara maju yang menggunakan kaedah seperti PPSMI antaranya Singapura, Afrika Selatan dan juga Ireland.
"Itupun negara mereka maju kerana perdagangan dan ekonomi dan bukannya negara yang menghasilkan ilmu. Malah Afrika Selatan juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan bahasa mereka sendiri menggantikan Bahasa Inggeris dalam konteks ini," katanya.
Beliau meminta kerajaan bertegas memansuhkan PPSMI dan tidak perlu mengubahnya lagi.
"Mengubah kembali keputusan itu menyebabkan kerajaan dilihat sebagai berdolak-dalik dalam soal dasar pelajaran," kata Shaharir.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran sudah menegaskan dasar itu tidak akan diubah walaupun ada desakan kerana ia akan mengakibatkan kecelaruan dalam pelbagai sudut termasuk menyediakan guru bagi sekolah.
Di pihak tertentu yang membantah pemansuhan PPSMI pula, ada yang mengugut kerajaan dengan menyatakan mereka hanya akan memberikan kemenangan majoriti dua pertiga kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang jika PPSMI diberi pilihan diteruskan.
Agaknya, golongan yang membantah pemansuhan itu lupa bahawa satu kajian mengenai 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' menunjukkan hanya empat peratus penguasaan Bahasa Inggeris dapat ditingkatkan menerusi PPSMI.
Kajian itu menyebut PPSMI menimbulkan kerugian berganda terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran itu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Kajian itu dijalankan oleh 53 pakar bahasa dan membabitkan Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sains Malaysia antara Jun dan Disember 2008.
Rumusan kajian itu pula ialah supaya PPSMI ditamatkan dan kembali kepada dasar sebelum 2003. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan