Memaparkan catatan dengan label DOA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DOA. Papar semua catatan

Selasa, 9 April 2013

Berdoalah… Allah itu Maha Mendengar


Terbaca nukilan dari Kak Chaq dari emel rasa ingin dikongsikan dgn anda semua......Persoalannya kenapa??????????

Salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah al-Sami’.  Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan dan luahan rasa daripada hamba-hambaNya pada setiap masa, tempat dan ketika,  Antara suara yang paling Allah cintai selain daripada tangisan hambaNya yang bertaubat ialah doa daripada hambaNya yang meminta.

Allah setia mendengar rintihan hamba-hambaNya ibarat “kekasih” yang saling mencintai.Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih dalam doa mereka kepada Allah, Allah tetap mendengar rintihan dan doa tanpa jemu tanpa mengira pangkat, darjat, harta dan rupa.
Keadaan ini berbeza dengan sikap manusia, sesama mereka terlalu ego dan bersikap berat sebelah, termasuk dalam soal mendengar.  Ya….jika orang yang bercakap itu tinggi pangkatnya, maka orang bawahan senyap terpaku membisu.  Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, mungkin mendengarnya sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum sempat dihabiskan percakapannya.  Kalau si kaya menegur, semua pihak tunduk akur.  Tetapi apabila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba.

Mengapa begitu sikap kita?  Mengapa kita tidak boleh terdidik dengan sifat Allah yang mendengar?  Malah lebih malang lagi, kita begitu berat hati untuk menadah tangan berdoa kepadaNya. Mengapa?  Adakah mereka rasa Allah tidak mendengar atau malas hendak berdoa?

Sebenarnya, malas berdoa ialah tanda kekerasan hati dan kesan daripada keras hati itu akan menyebabkan kita ditimpa kesusahan di dunia dan azab di akhirat. Sebaliknya, dengan berdoa hati akan menjadi lembut, fikiran akan menjadi cerdas, perasaan akan menjadi tenang dan anggota akan menjadi cergas.  Jadi, doa bukan petanda lemah.  Tetapi ia adalah sifat manusia gagah. 



Berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita pinta, kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui.  Doa ialah pengabdian daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Kita memberi bukan untuk menerima.  Kita menabur budi bukan untuk dianggap berjasa.  Apa yang sepatutnya diharapkan ialah keredaan Allah semata-mata.  Sesungguhnya apa yang dijanjikan-Nya lebih baik, kekal dan abadi.

Namun bukan mudah untuk mendapat keikhlasan  Dalam samar mainan rasa kekadang, malah selalu, kita menagih penghargaan dan terima kasih daripada manusia.  Padahal manusia sering mengecewakan kita.  Sudah masyhur kata bijak pandai, “ Siapa yang mengharapkan terima kasih atas kebaikan yang dilakukannya akan mengalami sakit jiwa”. Mengapa?  Berdoalah selalu moga Allah mempermudahkan urusan kita di dunia dan akhirat…. Amin
Secubit sayang…..

“Ballighu ‘anni walau ayah”
Kak Chaq

Jumaat, 11 Februari 2011

BEBERAPA KESILAPAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

Pengenalan

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hambaNYA. Firman ALLAH s.w.t. :

“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.”
(Al-Quran Surah At-Taghabun, 64 : 15)
Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :
“Tahukah engkau siapakah orang yang mandul.” Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”
(Maksud Al-Hadith )

Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak.


1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah
* Saidul (penghulu) Istighfar
* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38)
* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah
* Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 : 128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 : 74)
* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.


2. Kesilapan kedua : Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti :
* menakutkan anak-anak dengan sekolah
* menakutkan dengan tempat gelap
* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur

3. Kesilapan ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat : Menegur anak secara negatif
* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah).
* membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual).
* ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam : Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :
Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’ : “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.” (Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas
* ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan : Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan : Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh : Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas : Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas : Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas : Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas : Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas : Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Wallahu a’lam.
(Kuliah Mingguan Surau An-Nur , 15 Safar 1419 bersamaan 10 Jun 1998)
(Oleh Ustaz Khalid bin Haji Mohd Isa)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...