Halaman

Khamis, 24 Februari 2011

Qiamat 2012

Movie 2012
Soalan : DATO’, permasalahan bilakah kiamat telah dijawab oleh beberapa saintis hari ini, dengan menentukan tarikh kehancuran dunia dan alam ini pada tarikh yang telah ditetapkan, seperti yang tersebar dalam internet dan khidmat SMS. Bolehkah dipercayai dan apa hukum mempercayainya?





Prof Dato Dr Harun Din


-Jawapan oleh Prof. Dato Harun Din-
RAMAI juga orang yang bertanya saya melalui majlis-majlis ceramah, melalui telefon dan SMS berkenaan hal yang berkaitan. Saya berpendapat bahawa perkara tarikh kiamat ini, termasuk dalam perkara asas pegangan kita yang perlu diserahkan kepada Allah SWT sepenuhnya, tanpa berpegang atau merujuk kepada mana - mana makhluk. Kiamat adalah kerja Allah. Tidak patut makhluk hendak campurtangan dalam hal yang besar sebegini. Ia tidak sepatutnya dicampuri.

Dalam al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya): "Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah.’ Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.” (Surah al-Ahzab, ayat 63)

Tarikh berlaku kiamat adalah termasuk dalam perkara - perkara ghaib. Perkara ghaib, Allah sahaja yang mengetahuinya dan tidak diberitahu sesiapapun melainkan kepada Rasul pilihan-Nya sahaja.

Firman Allah (mafhumnya): "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun."Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” (Surah al-Jinn, ayat 26-27)

Namun demikian, Nabi Muhammad s.a.w. pun tidak mengetahui bilakah kiamat. Bukan sahaja Rasulullah, malah malaikat Jibril a.s. pun tidak mengetahuinya. Dalam Sahih Muslim, diperturunkan hadis riwayat Umar al-Khattab, mengkisahkan perihal Jibril menghadap Nabi Muhammad s.a.w. bertanyakan bilakah kiamat akan berlaku, maka baginda menjawab: "Yang ditanya tidak akan lebih tahu daripada yang bertanya."Maksud kata baginda ialah, makhluk yang paling amanah daripada kalangan penghuni langit, seperti Jibril yang paling dekat dengan Allah, menjadi utusan Allah kepada para Anbiya, khususnya Muhammad s.a.w. pun tidak mengetahui bila kiamat sehingga bertanya kepada Nabi s.a.w.Kedua - dua makhluk yang paling rapat dengan Allah, tidak tahu tarikh kiamat, maka apakah logiknya yang boleh diterima akal, orang lain dari mereka berdua, khususnya saintis yang kafir hari ini, boleh mengetahui tarikh kiamat dan disebarkan kepada umum seperti yang anda tanyakan kepada saya sekarang.

Dalam hadis Ibnu Umar yang disahihkan oleh Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w bersabda (mafhumnya): "Anak-anak kunci (rahsia) perkara ghaib ada lima perkara, tiada yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja."Rasulullah membaca ayat al-Quranul karim (mafhumnya): "Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman, ayat 34)

Dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir, ketika membuat tafsiran ayat di atas disebutkan: "Itulah perkara - perkara ghaib yang menjadi anak kunci rahsia yang diketahui oleh Allah SWT sahaja. Maka tidak diberitahu kepada sesiapa pun hatta kepada Rasul yang diutus, atau kepada malaikat yang muqarrab (hampir) kepada Allah SWT."

Jika inilah keadaannya, maka mana mungkin orang kafir boleh meramal atau menetapkan tarikh kiamat. Wallahua'lam (Al FAdhil Ustaz Dr Harun Din Al Hafiz)

Dicatat oleh Suraukini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan